Mengapa Badan Kita Boleh Kekurangan Vitamin?
Tanda kekurangan vitamin dalam badan ni wajib kita tahu ye!
Vitamin adalah salah satu dari 7 kelas makanan yang kita perlukan. Kecil-kecil cili padi sifatnya. Mengapa saya kata begini sebabnya kita hanya perlukan vitamin dalam kuantiti yang sedikit, tak boleh tidak. Sebab secara umum, vitamin memainkan peranan dalam kelancaran proses-proses badan kita. Jadi bila badan kita tidak mendapat vitamin yang mencukupi, proses-proses dalam badan akan terganggu, tanda kekurangan vitamin akan berlaku dan lama-kelamaan boleh pula menyebabkan penyakit.
Jadi, mengapa ya badan kita boleh kekurangan vitamin sebenarnya?
Pertama-tama, sudah tentu kerana pemakanan kita tidak memberikan kuantiti vitamin yang cukup. Ini termasuklah sama ada kita sendiri kurang makan sumber vitamin berkaitan seperti tabiat tidak makan sayur dan lain-lain. Selain itu, zat di dalam makanan kita sekarang ini banyak juga terjejas akibat kaedah penanaman yang menggunakan bahan kimia, faktor pencemaran, cara kita memasak dan lain-lain.
Jadi, seandainya kita tidak mengamalkan pemakanan seimbang, kita sangat berisiko untuk mengalami kekurang vitamin dalam badan. Bahkan boleh jadi risiko kekurangan kelas-kelas makan yang lain juga.
6 Vitamin Utama
Mari kenali 6 jenis vitamin, apa sumber makanan yang kaya dengannya, fungsi vitamin dan kesan apabila kekurangannya seperti yang saya ringkaskan di bawah 😎
1. Vitamin A
Sumber:
Tomato, lobak merah, minyak hati ikan kod, sayuran hijau, kuning telur.
Fungsi Utama:
- Membantu penglihatan malam atau penglihatan dalam cahaya malap.
- Memelihara kesihatan kulit.
Tanda Kekurangan Vitamin A:
- Rabun malam
- Kulit kering dan bersisik
2. Vitamin B
Sumber:
Roti gandum penuh, bijirin, telur, susu, sayuran hijau.
Fungsi:
- Memelihara kesihatan kulit.
- Memelihara sistem saraf.
- Membantu perkembangan sel darah merah.
- Membantu pembebasan tenaga daripada karbohidrat.
Tanda Kekurangan Vitamin B:
- Beri-beri (kelumpuhan)
- Dermatitis (gangguan kulit)
- Pelagra (gangguan mental dan penyakit kulit)
- Anemia (kekurangan sel darah merah)
3. Vitamin C
Sumber:
Buah-buahan segar, sayuran hijau.
Fungsi:
- Memelihara kesihatan tisu.
- Menyembuhkan luka.
- Membina ketahanan terhadap penyakit.
Tanda Kekurangan Vitamin C:
- Skurvi (gusi berdarah, pendarahan dalaman otot dan kulit)
4. Vitamin D
Sumber:
Minyak hati ikan kod, kuning telur, boleh terbentuk dalam kulit oleh cahaya matahari.
Fungsi:
- Menggalakkan penyerapan kalsium dan fosforus.
- Menguatkan gigi dan tulang.
Tanda kekurangan Vitamin D:
- Rikets (betis pengkar dan lutut bersentuhan)
- Osteomalasia (pelembutan tulang)
5. Vitamin E
Sumber:
Gandum penuh, germa gandum, minyak sayuran.
Fungsi:
- Membantu pembentukan membran sel
- Mengekalkan kesihatan saraf dan otot.
- Memelihara fungsi sistem pembiakan.
Tanda Kekurangan Vitamin E:
- Kemandulan
6. Vitamin K
Sumber:
Sayuran hijau, tomato, kuning telur, dihasilkan oleh bakteria di dalam usus besar.
Fungsi:
- Penting untuk pembekuan darah.
Kesan Kekurangan Vitamin K:
- Pendarahan yang berlanjutan.
Tanda Kekurangan Vitamin | Apa nak buat?
Jalan terbaik untuk mengatasi kekurangan vitamin semestinya ialah cuba sedaya upaya untuk mencukupkan ia dalam keperluan harian kita. Ada 2 cara yang kita boleh lakukan 🙂
1. Cukupkan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin berkaitan.
2. Ambil suplemen vitamin yang semulajadi. Ia dapat mengisi lompong-lompong vitamin yang kurang dari pemakanan kita.
Rujukan: MyHealth
Baca Selanjutnya: Senarai Vitamin Shaklee Beserta Harga dan Fungsinya
Leave a Reply