Musim cuti sekolah hujung tahun bakal bermula lagi 3 minggu. Ibu ayah sudah ada rancangan mahu membawa anak-anak bercuti di mana? Saya cadangkan mari bercuti di Bukit Merah Laketown Resort di Perak!
Bukit Merah Laketown Resort ini terletaknya lebih tepat di Semanggol, Perak. Dikatakan ia adalah antara hotel terawal di Malaysia yang mempunyai taman tema air (waterpark) sendiri. Berikut ialah alamat lengkap:
Alamat:
Bukit Merah Resort Sdn. Bhd.
(390047-M)
Jalan Bukit Merah,
34400 Semanggol, Perak Darul Ridzuan, Malaysia
Cara hubungi:
Tel: +605 890 8888 / Fax: +605 890 8108
Secara jujur, diakui Bukit Merah Laketown Resort ini kecil sahaja taman airnya kalau mahu dibandingkan dengan Sunway Lagoon mahu pun Tambun Waterpark. Tapi, bercuti di Bukit Merah Laketown Resort ini tak semestinya mengecewakan, terutama untuk anak-anak kita yang mahu berseronok. Sekurang-kurangnya, bila kawasan kecil ni, anak-anak lebih mudah dijaga dan dikawal.
Sempena cuti hujung minggu merangkap cuti Maulidur Rasul hari ini (9 Nov 2019), saya turut berkunjung ke sini bersama-sama keluarga kakak saya dan anak-anaknya.

Macam biasa, bila sampai, haruslah membeli tiket masuk. Saya difahamkan, tiket Dewasa berharga RM40 manakala kanak-kanak sekolah ialah RM30 seorang. Anda rasa berbaloi tak? Pendapat masing-masing lah ya, tapi untuk kegembiraan anak-anak sekali-sekala biasanya ibu ayah takkan nak berkira sangat kan 😀
Tapi harga tiket saya cumalah RM20. Adakah sebab saya telah diisalah erti oleh staf kaunter tiket bahawa saya masih pelajar sekolah? Haha, okay gurau T.T
Sebenarnya, harga tiket kami jadi separuh harga sebab kami guna baucer promosi School Attack.

Mana nak dapat baucer promosi macam ini? Terima kasihlah untuk anak saudara saya yang dapatkannya dari sekolahnya. Saya pun tak berapa pasti promosi yang lain, tapi apa-apa anda boleh search sahaja di internet berkaitan pakej promosi yang pihak Bukit Merah Laketown Resort tawarkan dari masa ke masa, okay?
Pengembaraan Air Bermula!
Masuk sahaja ke kawasan Waterpark, kita akan disambut oleh ini. Satu kawasan kecil pancur air. Bolehlah basahkan badan di sini sebagai permulaan.

Bagi yang mahu menyalin baju, boleh ke tandas atau bilik menyalin yang disediakan. Boleh juga sewa locker di sini untuk menyimpan barang-barang berharga anda. Jangan risau, ada kunci locker disediakan tapi bila seronok mandi tu jangan hilangkan kunci pula ya, tak ke haru nanti!
Selepas pancuran air mini atau shower ini, di sebelah kirinya ada water splash yang agak besar. Ada satu ‘baldi’ besar berbentuk kelapa di udara yang akan diisi air. Bila air penuh, kelapa tadi akan dituang untuk melimpahkan airnya ke bawah. Seronok tau masa ni!

Teringat masa saya kecil-kecil dulu di sekolah rendah, sekolah saya iaitu SK Kampung Selamat adalah sekolah angkat pemilik Bukit Merah Laketown Resort ini, iaitu Tan Sri Mustapha Kamal. Jadinya, kami sebagai murid-murid sekolah angkat ini memang selalulah dapat kesempatan untuk masuk mandi-manda ke sini secara percuma! Haha, tapi itulah.. zaman kecil-kecil bolehlah ber’kubang’ sakan. Sekarang sudah besar, kita tengok sajalah anak-anak kecil kita bermain air, hehehe..
Tapi nak bagitahunya, masa zaman dulu-dulu tu, bahagian baldi melimpahkan air inilah yang kami tunggu-tunggu. Mesti berkumpul ramai-ramai dengan kawan di tempat biasanya air tumpah. Sebabnya nak rasa feel air bah menimpa badan, hahaha!

Di sebelah kiri dan belakang water splash ini pula kawasan yang dikhaskan untuk kanak-kanak di bawah usia 6 tahun. Airnya lebih cetek dan selesa untuk ibu ayah memantau. Satu pesanan untuk semua, pantaulah anak-anak dengan baik ya walaupun suasana kurang ramai orang, supaya dapat mengelakkan perkara yang idak diingini berlaku seperti lemas dan kecederaan. Well, malang tidak berbau, sentiasalah beringat sebelum kena.

Kalau di sebelah kanan bertentangan dengan water splash, ada pula satu belon besar. Di sisinya ada tali-tali besar yang boleh digunakan untuk memanjat, sambil air mengalir di atas belon. Kira satu cabaranlah sebab nak memanjat agak licin. Ini pun saya tak lepaskan peluang masa kecil-kecil dulu, hehe. Panjat sajalah macam anak jantan. Well, dulu kan tak berapa cakna sangat bab malu lagi, budak-budaklah katakan.. 😆
Lain-lain Kemudahan Bercuti Di Bukit Merah Laketown Resort
Makanan dari luar memang tidak boleh dibawa masuk ke dalam Waterpark. Tapi jangan risau, kalau anda lapar, memang ada cafe untuk beli air dan makanan. Harganya standard sahaja, nak kata mahal tidaklah, just nice dan berpatutan untuk rate tempat percutian begini.

Selain itu, tandas dan tempat salin baju yabg disediakan adalah selesa.
Macam saya beritahu sebelum ini, anda boleh sewa locker untuk menyimpan barangan berharga. Boleh juga sewa pelampung di kainter berhampiran.

Dan untuk yang Muslim, jangan risau memang ada surau yang disediakan untuk kita solat bila masuk waktunya. Seronok-seronok juga, tapi solat janganlah tinggal ya. Bak kata Aliff Satar, nanti esok mati Dia tak tanya, dah habis ke tengok Iron Man series. Kalau versi kita sekarang ni, Dia tak tanya juga, dah habis ke explore waterpark Bukit Merah tu..? Haha.. okay, bab solat yang bakal DIA tanya lepas mati nanti okay. Jadi, sama-samalah kita saling mengingatkan.
Sedar tak sedar, masa pun sudah menginjak waktu Zohor. Saya dan keluarga pun tak mahu berlama-lama lagi di sini. Budak-budak pun habis kecut jari sebab lama sangat berendam air, maka kami siap-siap dan bergerak balik lebih kurang pukul 3.30 petang. Datang tadi pun sudah 11 pagi lebih, jadi agak lama juga kan, kira puas jugalah budak-budak bermain air.

Ada yang plan nak bercuti di Bukit Merah Laketown Resort ini? Marilah, ia simple yet fun. Kawasannya kecil tapi tetap menghiburkan.
Info Tambahan
Ada 2 laluan nak ke Bukit Merah Laketown Resort ini. Yang pertama ialah apabila keluar sahaja highway PLUS tol Bukit Merah, anda belok sahaja kenderaan ke sebelah kanan. Laluan masuk ke Laketown betul-betul bersebelahan sahaja dengan tol. Laluan ini adalah berbukit, jadi kena sedikit berhati-hati memandu.
Satu lagi laluan masuk ialah melalui Jalan Kg Selamat. Mungkin orang luar kurang tahu laluan ini, tapi bagi orang setempat macam saya, kami memang sudah biasa. Jalan kedua ini lebih mudah sebab ia tidak berbukit, ia antaranya akan melalui SMKA Kerian, Kolej Jururawat Bukit Merah, Suria Apartment dan Laketown Clubhouse (restoren Ais Gunung).
Yang belum pernah datang ke sini, marilah! Bercuti di Bukit Merah Laketown Resort bersama keluarga. Satu pengalaman baru anda dan anak-anak patut rasai!

Oh ya, selain Waterpark, di sini ada juga tarikan lain seperti Ecopark, Pulau Orang Utan dan lain-lain. Maklumat lanjut boleh semak sahaja di laman web mereka. Sekian!
Baca: Cara Meningkatkan Keimunan Seisi Keluarga dengan Immune Booster
Leave a Reply