Petua Hilangkan Gastrik | 4 Tips Semulajadi Wajib Buat

Adakah anda sering diserang gastrik? Awas ya, gastrik yang kerap boleh memudaratkan kesihatan badan kita dengan lebih kronik. Jadi, cepat-cepat berikhtiar jika ada masalah ini okey. Kami kongsikan petua hilangkan gastrik yang anda boleh buat sebelum ia menjadi semakin parah.

4 Petua Hilangkan Gastrik Cara Semulajadi

Jangan salah faham pula ya. Cara semulajadi di sini bukanlah bermaksud untuk menafikan ubat doktor. Jika keadaan gastrik anda sangat teruk, dapatkanlah rawatan segera. Makan ubat yang diberi doktor dan ikuti pantang-pantang yang dinasihatkan.

Petua hilangkan gastrik yang kami kongsikan di sini adalah sebagai langkah jangka panjang untuk pembaca bebas dari masalah gastrik selama-lamanya, mudahan!

Mari ikuti petua-petua hilangkan gastrik tersebut.

Petua 1:  Jaga waktu makan

Penghidap gastrik, cuba jujur ya. Adakah anda makan tidak mengikut masa yang sepatutnya?

Jika ya, nah ini tabiat yang perlu anda ubah mulai saat ini.

Pada masa-masa lazim kita makan, perut akan merembeskan jus perut yang berfungsi untuk menghadam makanan yang kita makan. Apa yang berlaku apabila anda makan pada waktu yang tidak teratur, jus perut tersebut masih lagi dikeluarkan oleh perut. Tapi disebabkan perut anda kosong tanpa makanan ketika itu, jus perut yang bersifat asid akan menyerang dinding perut. Ketika itu, perut akan merasa pedih dan menjurus kepada masalah gastrik.

Oleh itu, pastikan makan mengikut jadual ya. Kesibukan mungkin adalah suatu cabaran kepada anda, tetapi sentiasalah beringat supaya tidak membiarkan perut kosong ketika waktu makan sudah tiba. Sekurang-kurangnya bawalah apa-apa makanan sebagai pelapik perut seperti roti, biskut atau bijirin.

Petua 2: Elak Senarai Makanan Ini

Sementara sedang diserang gastrik, ada beberapa jenis makanan yang perlu anda elak, iaitu:

  • Minuman bergas / berkarbonat
  • Buah atau sayuran yang ‘sejuk’ dan ‘berangin’
  • Makanan yang pedas
  • Makanan yang berminyak dan bersantan
  • Makanan yang masam (berasid)

Rasa macam kena banyak berpantang makan, bukan? Ya semestinya – sekurang-kurangnya sehingga anda sembuh dari gastrik!

Jenis makanan-makanan ini tidak elok diambil oleh mereka yang mengalami gastrik kerana ia akan lebih menggalakan gejala serangan seperti rasa mual, angin, sakit perut dan sakit ulu hati.

Kadangkala mungkin anda teringin juga kan apabila dihidang. Cara yang terbaik jika mahu makan juga ialah, makanlah tanpa berlebih-lebihan. Pastikan juga sebelum makan, perut anda sudah berisi dan bukan makan jenis-jenis makanan ini dengan perut yang kosong.

Jika anda langgar pantang makanan ini, bersedialah untuk mendapat serangan gastrik. Isy tidak berbaloi makan ubat dan berikhtiar sana-sini tau!

Kuatkan azam untuk berpantang makan ya, dan cepat-cepatlah sembuh dari gastrik okey.

Petua 3: Amal Selalu Jenis Makanan Ini

Jika ada makanan yang perlu berpantang, ada juga makanan yang elok diambil dengan kerap oleh penghidap gastrik. Antaranya:

  • Karbohidrat kompleks
  • Protein yang bagus seperti protein tumbuhan (soya, kekacang dll.) dan daging ikan
  • Air kosong
  • Buah dan sayuran
  • Probiotik

Oleh kerana sakit perut gastrik sering menyerang apabila perut kosong, adalah penting untuk anda menjaga waktu makan. Satu perkara lagi yang boleh membantu untuk mengelakkan perut anda kosong dengan cepat sebelum waktu makan seterusnya ialah dengan memakan karbohidrat jenis kompleks atau protein bersumber dari ikan dan tumbuhan.

Karbohidrat kompleks ialah jenis karbohidrat yang mengambil masa untuk hadam dalam tempoh lebih lama. Kesannya, perut akan sentiasa terisi dan merasa kenyang yang lama. Tindakan jus perut untuk menghakis dinding perut dapat dikurangkan dengan cara ini.

Protein dari sumber ikan dan tumbuhan pula sangat baik untuk pemulihan semula dinding perut yang luka kerana gastrik. Protein ikan pula kaya dengan zat anti-keradangan untuk mengurangkan kesakitan semasa gastrik menyerang.

Baca: Minuman Susu Untuk Gastrik Yang Paling Sesuai dan Membantu Untuk Pulih Cepat

Sebaliknya, elakkan protein dari sumber susu dan hasil tenusu ya, kerana ia bersifat asid dan tidak sesuai untuk penghidap gastrik.

Bagi penghidap gastrik yang berpunca daripada bakteria h. Pylori, elok juga amalkan makanan probiotik seperti suplemen, tempe dan yogurt supaya dapat meneutralkan semula persekitaran dalam perut dari ancaman berterusan bakteria tersebut.

Petua 4: Antasid Semulajadi

Bila ke klinik, pasti dapat antasid kan? Fungsi antasid adalah sejenis ubat kimia untuk menghalang kerengsaan perut akibat gastrik atau pedih ulu hati.

Mengapa tidak cuba amalkan antasid semulajadi juga? Kesannya sama dan boleh diperoleh di sekitar anda ketika kehabisan ubat semasa gastrik menyerang. DI samping itu, antasid semulajadi tiada kesan sampingan seperti yang dikongsikan Portal MyHealth KKM. Ia selamat untuk penggunaan jangka masa panjang anda.

Antaranya antasid semulajadi (sumber: Healthline) yang mudah diamalkan ialah:

  • Teh peppermint
  • Teh chamomile
  • Cuka epal
  • Halia
  • OsteMatrix
  • Air Lemon

    Contoh chamomile tea

Cukup sudah 4 petua hilangkan gastrik.

Petua pun bukan petua sangatlah ya. Yang penting adalah kuasa tindakan jua  😆

Selamat mencuba! Semoga anda yang menghidap gastrik ketika ini akan sembuh tidak lama lagi berkat kesabaran dan konsisten dengan petua-petua di samping rawatan doktor juga.

Semoga artikel kami ini bermanfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge