Tips Menjaga Kesihatan Mata | Hebatnya Khasiat dan Fungsi Karotenoid

Mata adalah salah satu panca indera manusia yang lima. Ia sangat penting kerana membolehkan kita melihat. Bayangkan mereka yang buta atau mengalami kecacatan mata, pastilah kehidupan menjadi sedikit sukar kerana tidak dapat melihat.

Kali ini kami mahu kongsikan info untuk menjaga kesihatan mata dengan baik melalui pemakanan.

Karotenoid dan Tujuan Menjaga Kesihatan Mata

Salah satu cara menjaga kesihatan mata ialah dengan mengamalkan makanan yang berkhasiat dan menyokong kesihatan mata.

Karotenoid adalah satu kumpulan zat yang didapati daripada makanan. Ia sangat sinonim dengan kesihatan mata. Kami akan kongsikan kebaikan dan khasiat karotenoid ini, teruskan membaca.

Apa Itu Karotenoid dan Khasiatnya

Karotenoid ialah pigmen yang terdapat di dalam tumbuhan, alga dan bakteria yang menjalankan proses fotosintesis – proses membuat makanan oleh tumbuhan. Pigmen inilah yang memberi warna kuning, oren dan merah kepada tumbuhan, buah dan sayuran.

Contoh makanan yang kaya dengan karotenoid ialah yang ada warna kuning, oren dan merah seperti kale, tembikai, oren, tomato, lobak merah, lada benggala, mangga dan lain-lain lagi.

Karotenoid ada dalam buah dan sayuran berwarna terang seperti ini!

Jika karotenoid memberi warna kepada tumbuhan, ia pula memberi khasiat antioksida kepada manusia yang memakannya.

Perasan atau tidak, sayuran dan buah yang berwarna kuning, oren dan merah ini memang mahal dan boleh tahan juga harganya di pasaran kan! Ini salah satu sebab kerana khasiat antioksida yang bagus yang terdapat padanya.

Karotenoid ada pelbagai jenis. Jenis-jenis karotenoid ialah seperti:

  • Alfa karotena
  • Beta karotena
  • Beta kriptoxanthin
  • Lutein
  • Zeaxanthin
  • Lycopene

Jenis-jenis karotenoid yang pelbagai ini pula dibahagikan kepada 2 kumpulan, iaitu kategori xanthophills dan karotena.

Xanthiphills biasanya terdapat pada buah dan sayuran berwarna kuning. Secara umum, khasiat karotenoid ini kepada manusia ialah dapat melindungi daripada terdedah kepada bahaya cahaya matahari yang berlebihan. Ia juga dikaitkan dengan kesihatan mata. Lutein dan zeaxanthin adalah jenis karotenoid yang termasuk dalam kategori ini.

Bagi kategori karotena pula, ia membawa pigmen berwarna oren. Ia sememangnya memberi khasiat antioksida yang baik kepada penggunanya.

Kebaikan dan Fungsi Karotenoid Untuk Kesihatan Mata

Secara umum, karotenoid bertindak sebagai antioksida. Ia akan melindungi sel badan daripada mengalami kerosakan akibat radikel bebas.

Dalam hal menjaga kesihatan mata, tentu pembaca pernah dengar untuk selalu minum jus lobak merah atau makan tomato bukan? Nah, kedua-dua petua ini adalah kerana khasiat karotenoid tersebut!

Memakan makanan yang kaya dengan khasiat karotenoid akan melindungi sel mata yang sihat dan mengelakkan pertumbuhan sel kanser – khasiat yang begitu hebat!

Dalam masalah lain melibatkan kemerosotan penglihatan dan risiko paling teruk iaitu buta ialah kerana fungsi retina mata yang semakin merosot. Pendedahan kepada cahaya biru dalam jangka masa panjang sangat berperanan mengurangkan fungsi retina mata dari masa ke masa.

Namun, memakan karotenoid seperti kategori lutien dan zeaxanthin rupanya dapat membantu untuk menyerap cahaya biru yang merosakkan retina mata. Dengan ini, kemerosotan penglihatan dapat dielakkan apabila konsisten mengambil karotenoid.

Fakta yang menarik bukan?

Mahu menjaga kesihatan mata? Jadi, banyak-banyak dan konsistenlah memakan makanan yang kaya khasiat karotenoid ya.

Lain-lain Khasiat Karotena

Selain bagus untuk memelihara kesihatan mata, karotenoid juga sangat baik untuk kesihatan sistem kardiovaskular iaitu jaringan peredaran darah dalam badan manusia. Karotenoid bersifat anti-keradangan, maka ia dapat menjaga kesihatan kardiovaskular daripada risiko kerosakan disebabkan keradangan.

Di samping itu, antara lain khasiat karotenoid ialah melindungi sel badan daripada risiko kanser. Ia meneutralkan radikel bebas yang menyerang sel badan supaya tidak membentuk sel kanser yang tidak terkawal.

Baca: Ikhtiar Nak Kurangkan Silau, Dapat Bonus Power Rabun Pun Turun Sekali

Akhir sekali, sumber makanan yang kaya khasiat karotenoid sangat mudah dikenali! Ia paling mudah ditemui pada sayur dan buah yang berwarna terang seperti kuning, oren dan merah. Pembaca mahu menjaga kesihatan mata dengan baik? Anda harus cari makanan kaya karotenoid ini dan amalkan, okey 😉

Rujukan: Healthline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge